KETULAN atau benjolan berbentuk bulat sama ada kecil atau besar yang
tumbuh antara permukaan kulit dan lapisan otot boleh membuatkan seseorang itu
rasa kurang selesa.
Lazimnya, lipoma tumbuh di beberapa bahagian badan seperti tangan, kaki,
bahu dan belakang leher, malah ada di dalam organ badan.
Walaupun tidak terasa sakit apabila ditekan, namun ada yang bimbang dan
beranggapan ketulan itu terus membesar hingga boleh menyebabkan barah.
Pakar Bedah Endo-Laparascopic, Sri Kota Specialist Medical Centre, Dr K
Anantha, berkata ketulan yang terbentuk daripada sel lemak atau tisu adipose
dipanggil lipoma.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak berbahaya tetapi lipoma yang tumbuh
dalam sistem gastrointestinal sehingga menyebabkan penyumbatan dalaman usus
boleh mengancam nyawa.
"Lipoma tidak dikategori sebagai tumor sebaliknya benjolan itu
boleh berkembang dan membesar secara perlahan pada tubuh yang ada sel-sel
lemak.
"Kebanyakan lipoma bukan barah, walaupun ada percanggahan pendapat
mengenai lipoma yang dipercayai boleh menjadi barah," katanya.
Dr Anantha berkata, lipoma tidak berbahaya dan hanya satu peratus
dideritai oleh orang dewasa dan jarang dihidapi dalam kalangan kanak-kanak di
negara ini.
Bagaimanapun, jika ada individu dikesan ia adalah berkaitan dengan
simptom lain seperti penyakit keturunan yang dipanggil lipomatosis.
Selalunya orang dewasa, seawal usia 25 tahun berisiko mendapat lipoma
manakala lebih kerap berlaku pada individu berumur 35 tahun ke atas.
Lipoma boleh tumbuh dan membesar bersaiz satu hingga tiga sentimeter
mengikut ukuran diameter, kemudian ia membesar secara perlahan setiap bulan
atau tahun.
Dr Anantha menjelaskan proses itu boleh berhenti sekiranya ia tidak
normal tetapi boleh menjadi besar.
"Lipoma boleh berkembang di bawah fascia atau selaput otot yang
lebih mendalam dikenali sebagai sub-fascial.
"Selain hanya di kawasan permukaan kulit di badan, lipoma juga
boleh tumbuh di bahagian dalam badan seperti tekak, dalam perut dan usus kecil
dan paru-paru.
Beliau berkata, lipoma boleh wujud di dalam hati dan tulang, namun
jumlahnya sangat sedikit dan jarang dilaporkan.
"Tiada punca atau mekanisma tertentu yang menyebabkan lipoma.
Kadang kala, ia juga boleh disebabkan oleh penyusunan semula gen kromosom iaitu
12 kromosom.
"Lipoma yang tumbuh berdekatan dengan saraf seperti jenis
Intradermal Spindel Cell Lipoma atau Nerve Shift Lipoma akan menyebabkan
individu rasa sakit kerana ia menekan saraf," katanya.
Pesakit boleh mengesan tanda awal perkembangan lipoma dengan merasa ada
bengkak sebesar satu sentimeter ketika mandi.
"Kebanyakan benjolan itu tidak sakit tetapi apabila ditekan
kesakitannya hanya pada tahap minimum," katanya.
Dr Anantha menasihatkan mereka yang mengalami kesukaran bernafas mungkin
ada lipoma pada paru-paru dan jantung.
Bagi lipoma yang timbul di dalam saraf, tanda awal boleh dikesan apabila
terasa sakit pada sendi.
Lipoma juga boleh dilihat di bahagian organ endokrin, tiroid, kelenjar
adrenal, pankreas dan kelenjar paratiroid.
"Penyakit ini boleh dikekang dengan mengawal berat badan dan
memastikan tidak ada sel lemak berlebihan dalam tubuh," katanya.
Beliau menyarankan membuang lipoma yang semakin membesar khususnya, di
bahagian yang lembut dan membesar dengan cepat serta menjadi keras untuk
mengelak kanser.
INFO
* Lipoma bersaiz kecil (antara 1 sm - melebihi 6 sm.
* Kerap diperoleh mereka berusia 40 hingga 60 tahun
* Individu bawah 40 tahun dan kanak-kanak.
* Lakukan pemeriksaan awal.
* Benjolan dikenal pasti menerusi diagnosis klinikal dengan menjalani
ujian radiologi seperti imbasan ultrasound, imbasan imbasan Tomografi
Berkomputer atau CT Scan, pengimbas Imej Magnetik (MRI)
*Dilakukan jika ada tanda luar biasa.
Tisu adipose
* Tisu atau lemak dalam badan.
* Berfungsi untuk penyimpanan tenaga dalam bentuk lemak.
* Bertindak sebagai 'pelapik' dan memberi haba kepada badan.
No comments:
Post a Comment